-->

[Global] Setiap hari, Zozo akan hilangkan diri tanpa diketahui sesiapa. Rupanya, Zozo ingin melepaskan rindu pada seseorang



Anjing seringkali dianggap sebagai ‘rakan baik manusia’ kerana kepintaran dan kesetiaannya kepada tuan yang memeliharanya.
Anggapan ini ternyata ada benarnya setelah banyak bukti dari segi video, kisah-kisah benar dan pelbagai lagi medium yang menceritakan mengenai anjing.
Di Turki, lelaki ini yang dikenali sebagai Ismail Öztürk telah mengambil keputusan untuk memelihara seekor anak anjing jalanan. Ismail yang kasihan melihat anak anjing itu sendirian di jalan raya telah membawanya pulang ke rumah.
Dia kemudian menamakan anak anjing itu dengan nama Zozo. Sejak itu, Zozo dan Ismail mula membentuk perhubungan yang rapat apatah lagi Zozo sangat manja dengan Ismail.
Mungkin Zozo tahu Ismail telah menyelamatkannya dan memberikannya tempat tinggal yang lebih selesa, jadi anjing ini amat menyayangi tuannya itu.
Mereka hidup bersama dan terus menjalinkan hubungan yang erat sehingga Zozo membesar menjadi anjing dewasa yang sangat kuat.
Bagaimanapun pada tanggal 10 Februari 2014, Ismail meninggal dunia dan kehilangan tuan yang dicintai ternyata memberikan luka mendalam pada Zozo.
Pemergian Ismail nampaknya bukan sahaja ditangisi oleh ahli keluarga dan sahabat handai tetapi juga anjing peliharaannya iaitu Zozo.
Sejak Ismail tiada, ahli keluarganya menyedari perilaku yang aneh pada Zozo. Anjing itu seringkali menghilangkan diri dan hanya akan pulang ke rumah pada lewat petang. Tiada siapa yang tahu ke mana Zozo pergi dan apa yang dilakukannya.
Sehinggalah pada suatu hari, ketika anak lelaki Ismail iaitu Zafer Öztürk melawat kubur bapanya, dia melihat satu susuk yang dikenalinya sedang berbaring di atas kubur tersebut.
Susuk tersebut adalah Zozo!
Rupa-rupanya, selama ini kehilangan Zozo adalah kerana anjing itu hendak melawat kubur tuannya. Rindu sungguh Zozo pada Ismail ya? Sedih pula melihat penderitaan yang terpaksa ditanggung haiwan ini setelah insan kesayangannya pergi buat selama-lamanya.
sumber - Era Baru

Baca juga:

0 komentar



Emoticon