-->

” Di luar dia milik masyarakat. Tetapi kembali ke rumah, dia adalah suami saya…” – ‘SOUND’ Zai Izzati, Isteri Jamal Abdillah


MENJADI pasangan hidup kepada insan popular sebenarnya tidak semudah yang dilihat. Benar, tempias publisiti pasti tercalit tetapi hakikatnya tidak semua peminat tegar seseorang artis itu gemar pasangan bintang pujaan mereka hadir bersama.
Situasi tersebut dialami sendiri oleh isteri Datuk Jamal Abdillah, Datin Zai Izzati Khiruddin ketika menemani suaminya tidak lama dahulu dalam satu majlis.
Bercerita mengenai hal tersebut, Zai Izzati, 24, memberitahu, ketika berada dalam acara tersebut, ramai peminat Jamal, 59, yang mahu merakamkan gambar kenangan dengan Raja Pop tersebut.
“Tetapi secara terus terang peminat tersebut memberitahu yang dia tak mahu saya ada dalam gambar mereka berdua. Dia hanya mahu bergambar dengan suami saya,” ujar Zai Izzati sambil tersenyum.
Bagaimanapun, ujar wanita ini, dia tidak terasa hati atau terganggu dengan situasi tersebut kerana memahami Jamal bukan milik mutlak dirinya.
“Saya faham yang ragam manusia ini pelbagai. Suami saya juga ada ramai peminat dalam kalangan wanita. Situasi seperti ini tidak boleh dielak kerana sudah pasti ramai yang mahu bergambar dengannya.
“Namun itu tidak menjadi masalah kepada saya kerana bila di luar dia adalah milik masyarakat. Tetapi kembali ke rumah, dia adalah suami saya,” kata Zai Izzati.
Bercerita lanjut mengenai pernikahan mereka yang berlangsung pada 1 April tahun lepas, jodoh yang diatur keluarga itu diterima seikhlasnya oleh Zai Izzati.
Menjadi isteri kepada seorang bintang ternama dengan jurang usia 35 tahun, perkahwinan menukar sifat lahiriahnya yang masih muda kepada wanita yang lebih dewasa.
“Perkahwinan membuatkan saya lebih matang dan saya kena belajar memahami diri Jamal. Kena banyak bersabar dan saya kena jadi lebih tua. Apa pun, Jamal seorang lelaki penyayang.
“Sekarang ini saya belajar menyesuaikan diri dengan cara hidupnya dan suasana luar apabila saya menemani suami,” kata Zai Izzati.
Sekadar mengenali Jamal sebagai seorang penyanyi, dia tidak mengikuti perkembangan seni bintang itu malahan lagu-lagunya juga tidak pernah menjadi siulan hati muda Zai Izzati.
“Saya tidak tahu lagu-lagu popular suami saya sebab jurang generasi kami yang berbeza. Cuma sekarang barulah saya tahu beberapa buah lagunya seperti Sepi Seorang Perindu,” kata Zai berterus-terang yang disambut gelak oleh Jamal yang duduk di sebelahnya.
Sumber : kopitarikkaw

Baca juga:

Tags:

0 komentar



Emoticon