-->

Kerana Tampal Jalan, LANDO Dedahkan Diugut Bunuh & Rasuah Oleh Seorang Tokoh Politik….MEMANG TERUK BETUL!

WAWANCARA | Hampir 11 tahun menjalankan kerja-kerja menampal lubang pada jalan raya, Lando Zawawi memberitahu dia menerima pelbagai ancaman serta ‘sogokan’ termasuk cubaan untuk ‘membelinya’ dengan harga jutaan ringgit.
Langkah itu dibuat dalam usaha seorang ahli politik. Tujuannya supaya Lando tidak mengecam keadaan jalan raya di kawasan tokoh terbabit.
Tanpa menamakan mana-mana anggota politik atau parti yang diwakili, Lando mendakwa tokoh berkenaan kemudian menawarkan jutaan ringgit supaya dia ‘mengutuk’ jalan raya parti lawan.
Namun, pemilik nama sebenar Azlan Sani Zawawi, 44, menolak segala cubaan untuk membelinya kerana menganggap tindakan berkenaan tidak beretika serta lari daripada matlamat sebenar badan yang diasaskan iaitu Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood).
“Memang ada cubaan merasuah supaya tak kacau kawasan pilihan raya dia.
“Dia nak bagi duit, pejabat. Berjuta-juta (ditawarkan). Dia tak bagi kami serang dan viralkan laluan di kawasan dia, sebaliknya minta kami serang kawasan musuh dia.
“Orang dari belah sana (parti politik) pun ada juga (nak bagi wang). Tapi kita tak ambil,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini.
Lando sememangnya terkenal dengan tindakannya menularkan jalan-jalan berlubang di seluruh negara melalui Facebooknya.

Tak pandang duit

Sehingga kini laman Facebook Lando mempunyai 372,634 pengikut manakala laman Facebook Brotherhood mengumpul sebanyak 28,606 pengikut.
Brotherhood kini mempunyai kira-kira 500 anggota di 10 buah negeri antaranya di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Pulau Pinang.
Menceritakan lebih lanjut lagi, Lando berkata pelbagai kejadian dihadapi sepanjang beliau menjalankan kerja-kerja berkenaan.
Selain cuba dirasuah dia juga pernah menerima ugutan bunuh malah terdapat kejadian ada individu tidak dikenali mencampak wang RM3,000 ketika dia sedang menampal lubang jalan raya.
“Kejadian ini berlaku di Selangor. Ada orang campak duit RM3,000 suruh kita berhenti buat kerja.
“Banyak sangat cubaan bagi duit, tapi kami tak pandang duit.
“Ada juga cubaan bunuh, cubaan menyamar nak masuk Brotherhood tapi kami ada sistem untuk nak tahu sama ada orang itu menyamar atau tidak,” kata Lando yang menegaskan bahawa untuk menjadi anggota Brotherhood mereka perlu melalui beberapa ujian terlebih dahulu.
Ujian yang dimaksudkan ialah kesanggupan seseorang jika ditangkap pihak berkuasa, mengeluarkan duit poket sendiri untuk kerja yang dilakukan, serta mereka diuji untuk menurap jalan dengan betul selepas diajar oleh wakil Brotherhood.
“Bukan senang-senang nak masuk Brotherhood,” katanya.
Lando juga mengakui pernah tersilap menerima individu tertentu menyertai pertubuhannya.
Orang itu kata Lando, rupa-rupanya kontraktor dan selepas menyertai Brotherhood dia menyalahgunakan nama gerakan berkenaan.

Tolong kalahkan Brotherhood

​Selain itu, bercakap mengenai konsep Brotherhood, Lando memberitahu dia tidak gemar menggunakan perkataan badan amal, kebajikan serta suka rela berikutan kerja-kerja yang dilakukannya.
Jelas Lando, Brotherhood menggunakan konsep “pencabar kepada pihak berkuasa” berbanding hanya tahu membangkang semata-mata.
“Macam dalam filem, ada watak jahat, ada watak hero. Kita (Brotherhood) ini watak jahat yang bermatlamat dan pihak berkuasat seperti PBT, JKR adalah hero.
“Jadi tolonglah kalahkan kami. Dah 11 tahun tak kalah-kalah,” katanya merujuk kepada pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Kerja Raya yang mempunyai tanggungjawab mengelola serta menyelenggara jalan-jalan raya di negara ini.
Kata Lando konsep mereka ialah “mencabar” dan bukan mengadu.
Tindakan itu katanya dibuat kerana pihak pencabar sebenar – iaitu pembangkang – dianggapnya lembik. Pada masa sama Lando menegaskan mereka juga bukan bersifat menyokong mana-mana parti politik.
“Kerana yang penyokong inilah macai,” katanya.
Menurut Lando Brotherhood mencabar JKR supaya dapat menampak lubang pada jalan raya dalam tempoh tiga hari selepas ia disedar.
Kalau tidak, katanya Brotherhood akan membuat tampalah berkenaan. Langkah itu kata Lando sebenarnya mencabar maruah JKR dan PBT.
“Kalau mereka (PBT dan JKR) gagal, kami akan tampal. Kami buat secara percuma. Itu konsep pencabar yang baik,” katanya sambil memberitahu beliau tidak berminat untuk bergiat dalam mana-mana parti politik.
Selain itu, pengarah dan pelakon itu turut mempertikaikan parti pembangkang di Malaysia yang dilihat lembik dan hanya tahu mengkritik kerajaan semata-mata tanpa membuat sebarang tindakan.
“Kita ada pembangkang. Kalau kerajaan tak buat (apa yang mereka mahu) mereka bising tapi apa yang dia (pembangkang) buat? Dia buat bising saja,” katanya.

Adu pada pihak berwajib dulu

Ditanya mengenai jalan-jalan yang dibaiki, Lando memberitahu mereka hanya memfokuskan jalan raya yang mempunyai aliran trafik tinggi, jalan-jalan ke rumah ibadah serta jalan raya menuju ke rumah ilmu.
Ujar Lando, Brotherhood tidak akan ‘mengganggu’ jalan raya persendirian serta jalan-jalan kampung.
​”Kami fokus pada laluan utama yang mempunyai aliran trafik tinggi. Yang ini kami akan cabar dulu baru membuat turapan.
“Kemudian kami juga akan menurap secara percuma tanpa mencabar sesiapa terhadap jalan raya ke kawasan rumah ibadah seperti masjid, kuil, tokong, surau dan juga ke rumah ilmu seperti ke tadika, sekolah, universiti. Yang ini kita buat percuma.
“Jalan-jalan persendirian kita tak masuk dan jalan kampung sebab jalan kampung dekat Malaysia ini teruk sangat. Bukan aku je, semua orang boleh bankrap,” ujar Lando sambil ketawa. ​
Sehubungan itu, Lando menasihatkan pengguna jalan raya sekiranya ingin membuat sebarang aduan, mereka dinasihatkan untuk membuat aduan pada pihak yang berwajib terlebih dahulu.
Ini kerana, katanya, ramai masyarakat yang terus mengadu kepada Brotherhood mengenai jalan-jalan berlubang tetapi tidak membuat aduan kepada pihak berkuasa.
“Kepada orang awam, janganlah semua nak bagi pada Brotherhood. Buat laporan dulu pada pemilik laluan, kalau tak ada apa-apa baru kami mulakan cabaran pada pihak sepatutnya.
“Brotherhood bukan tempat mengadu tapi kami mencabar. Orang ramai buatlah aduan pada pihak sepatutnya. Di JKR mereka ada 14 saluran aduan. Tapi kenapa masyarakat tak gunakan? Sebab tak percaya mereka ke?
“Kita harap benda ini boleh ubah. Mereka (pihak bertanggungjawab) telah diamanahkan dan mereka berbayar, ada dapat duit over time lagi. Buatlah kerja betul-betul,” ujarnya.
Sumber: Bujangmedia0

Baca juga:

0 komentar



Emoticon